NUTP telah menjalankan kaji selidik mengenai pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) terhadap guru. Maklum balas yang diterima menyatakan bahawa para guru mendapati tahap penguasaan Bahasa Inggeris murid- murid kurang memuaskan. Untuk mengatasi masalah ini, mereka mencadangkan supaya waktu Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) untuk mata pelajaran Bahasa Inggeris ditambah. Pelajar juga digalakkan supaya banyak membaca bahan bacaan Bahasa Inggeris, dan para guru pula memperbaiki serta mempertingkatkan penguasaan Bahasa Inggeris mereka.

Mereka berpendapat bahawa sukatan PPSMI tidak dapat diselesaikan pada masa tertentu, dan mencadangkan supaya kerajaan memilih bahasa yang senang dikuasai murid, iaitu bahasa ibunda. Memandangkan pelajar lebih memahami subjek-subjek yang diajar dalam bahasa ibunda dan Bahasa Melayu, para guru yakin bahawa P&P Sains dan Matematik akan lebih berkesan sekiranya bahasa ibunda digunakan.

Melalui pemerhatian para guru, antara sebab mengapa pelajar tidak berminat dalam P&P PPSMI ialah kerana mereka tidak faham. Penggunaan bahasa yang mudah difahami murid iaitu bahasa ibunda dapat mengatasi masalah ini. Tambahan pula istilah sains seperti photosynthesis faleum dan herbivourous sukar dieja, dibaca,diingat dan difahami. Oleh sebab inilah cadangan para guru supaya standard Bahasa Inggeris di kalangan pelajar dikukuhkan terlebih dahulu diambil perhatian. Peruntukan masa PPSMI yang tidak mencukupi juga disuarakan oleh para guru dalam kaji selidik ini. Mereka turut mengingatkan bahawa bukan semua pelajar prasekolah mempelajari Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Oleh kerana ini juga pelaksanaan PPSMI di sekolah rendah amat tidak sesuai.

PPSMI menjadi satu beban bukan sahaja kepada pelajar tetapi juga kepada guru. Ini adalah disebabkan terdapat guru yang lemah dalam penggunaan Bahasa Inggeris, bukan hanya pelajar. Guru-guru ini belum bersedia menggunakan Bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematik. Kursus-kursus dalam perkhidmatan yang diadakan untuk para guru bagi meningkatkan keberkesanan pengajaran subjek-subjek PPSMI juga tidak mencukupi dan tidak berkesan.

NUTP berharap Kementerian Pelajaran Malaysia akan mendengar suara para guru dalam hal ini dan menjadikan maklum balas yang diterima sebagai rujukan dalam meneliti semula pelaksanaan PPSMI bagi memastikan pelajar dapat manfaat yang optimum.

Sumber: Cikgublog dan NUTP

Baca: komen Dr Khir dan pengalaman penulis sendiri di sini

Comments (0)