Sudah hampir masuk bulan 8, ini bermakna sudah hampir ke penghujung tahun 2009. Menari mengikut rentak sekolah..ujian, peperiksaan, post mortem, headcount, analisis, kerja kursus (PBS), pengurusan stok bengkel, kursus, bengkel, mesyuarat, kerja-kerja pejabat di sekolah sudah diharungi..

Walaupun tidak 100% berjaya dihabiskan, terutamanya pengurusan stok yang masih berbaki..emm, tak mampu nak siapkan dengan masa yang ada banyak dihabiskan untuk p&p dan melayan 'tetamu' luar yag tak putus-putus datang untuk 'menengok' fail2 dan iklim sekolah..sedikit terbantut kerja.

Pagi tadi 29.7.09 aku berpeluang melihat anak2 buah aku membuat persembahan spontan tetapi penuh berisi dengan segala aspek ilmu kejuruteraan dalam membentangkan hasil kerja selama 6 bulan sebelum ini..

Lihat saja aksi-aksi mereka semasa membuat persembahan...

Menghasilkan rak meja lukisan ala-ala jepun mudah alih...Kalu orang Jepun tengok mesti boleh jual nie...hehe agaknye lah

Siap untuk digunakan....boleh buka tutup lagi

Kumpulan pelajar perempuan mempersembahkan rak menyimpan papan LK mereka..Isy2, buat rak ngam2 depa 5 orang saja noo..yang lain tak boleh tumpang? Ptototype kata mereka...pandai menjawab!

Sempat lagi berposing tue...1 malaysia tengok lepas nie..bahkan 1 dunia jgak..hehe

Ermm rak apa nie ye? oh..inilah rak serbaguna kata mereka, boleh menyimpan buku, kasut, dan lain-lain lagi..Ada yang kata reban ayam. Isy..tak patut betul lah

Tidak ketinggalan juga kumpulan Fakri dengan troli sampah mereka..boleh menyimpan penyapu, tong sampah dan mudah ditolak ketika sedang menyapu...idea2

Dan yang paling mantop...gazebo bersaiz 4'x5' ini megah berdiri di bawah terik mentari dan dikala hujan melanda.

yang lain masing-masing cari tempat teduh..panas. Tapi alhamdulillah segalanya berjalan lancar. Terimakasih semua..Eh ada lagi...

Macam inilah kalau berada depan kamera...kukuh jugak gazebo ni, 24 orang naik takdak apa2 pun...kira ok lah tu...

Mungkinkah ini generasi terakhir 5 Avicenna tahun ini? Wujud lagikah 5 Avicenna sesi 2010 nanti? 2011? Hanya yang tahu dapat menjawabnya...selamat tinggal Avicenna 2009...Cikgu mengabadikan segala kenangan Avicenna sesi 2009 di sini...juga Avicenna sesi 2005-2008, serta Ibnu Rushd sesi 2005-2006...terima kasih anak2 murid semua. Kalau jumpa mana-mana jangan malu-malu tegur noo...
Letih..itu yang boleh diucapkan setelah 3 hari 2 malam (23,24, dan 25 Julai 2009) berada di Sungai Angkat, kawasan air panas Ulu Legong di Daerah Baling untuk menjayakan perkhemahan perdana unit-unit beruniform..walaupun tidaklah sehebat eksplorasi Hutan Lipur Royal Belum di Tasik Banding tahun 2006 dan Ekpedisi Gua Gendang 2004 dan lain-lain lagi..tetapi aktiviti dan komitmen tetap diberikan untuk tidak menghampakan rakan-rakan yang setia berada di sana..

Aktiviti yang dijalankan tidaklah terlalu mencabar kerana kawasan perkhemahan di sini merupakan kawasan tumpuan ramai orang di hujung minggu, untuk tujuan bersantai bersama keluarga. Air yang sejuk di Sg Angkat dan berhampiran dengan Kolam Air Panas Ulu Legong memang menjadi tumpuan ramai. Sejuk memang sejuk, tapi itu saja air yang ada..sumber air utama kami sepanjang 3 hari berada di sana..

Akhirnya dah lewat petang pada hari Sabtu, sehingga jam 5.30 petang barulah segalanya selamat...letih juga menguruskan soal peralatan dan pengangkutan pelajar petang tu..ermm nasib baik juga ramai guru yang sudi membantu waktu itu...terima kasih semua..

Gambar-gambar sekitar perkhemahan...





Lagi gambar klik sini..

Menghadap monitor komputer berjam-jam akan menyebabkan bahu dan tengkuk akan berasa letih dan lenguh. Lakukan senaman ringkas selama empat minit ini bagi setiap sejam atau apabila anda berasa letih apabila anda menggunakan komputer. Senaman ringkas ini akan menjadikan anda lebih selesa. Amalkannya selalu! Selamat mencuba...
POST MORTEM: PPMSI MANSUH 2012. Dasar Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang menimbulkan banyak kontroversi sehingga menggugat peranan utama bahasa Melayu dalam bidang tersebut, akhirnya dimansuhkan oleh kerajaan.

Dengan itu bermakna kerajaan telah mengambil kira suara rakyat pelbagai lapisan selaras dengan dasar 'Satu Malaysia Rakyat Didahulukan'. Saya percaya, kerajaan telah membuat kajian mendalam, telus dan adil dari pelbagai sudut sebelum membuat keputusan akademik tersebut.

Memang tidak boleh dinafikan bahawa subjek Sains dan Matematik itu sangat penting untuk membangunkan negara. Namun demikian, rakyat tidak pernah menolak belajar kedua-dua subjek itu. Rakyat selama ini cuma mempertikaikan kenapa kedua-dua subjek tersebut diajar dalam bahasa Inggeris sedangkan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu? Selama ini rakyat terasa seperti bahasa Melayu itu sangat teruk diperlekehkan sehingga tidak layak diajar dalam subjek tersebut.

Justeru, apabila kerajaan membuat keputusan mengembalikan semula pengajaran dan pembelajaran kedua subjek tersebut ke dalam bahasa Melayu maka saya berpendapat ia adalah satu keputusan yang adil dan melegakan ramai pihak.

Semoga usaha kerajaan untuk mengutamakan dan mempertingkatkan kualiti kurikulum bahasa Inggeris di sekolah-sekolah akan berjaya melalui dasar baru yang diperkenalkan.

Di sini saya dan rakyat ingin ucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana mengembalikan semula kedudukan bahasa Melayu ke dalam Sains dan Matematik-Utusan Melayu

REZA ALJUNAID
Jelebu, N. Sembilan
Baca seterusnya..

JADIKAN BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA ILMU. KUALA LUMPUR 9 Julai - Pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) merupakan langkah baik untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Tokoh pendidik, Tan Sri Abdul Rahman Arshad berkata, bahasa Melayu merupakan bahasa ibunda yang perlu dijaga kesuciannya dan dimartabatkan supaya ia tidak terpinggir dalam arus peredaran zaman.

Menurutnya, untuk terus memartabatkan bahasa itu, ia perlu dijadikan bahasa ilmu di semua peringkat pengajian.

"Langkah kerajaan memansuhkan dasar PPSMI merupakan langkah yang cukup baik, tetapi bukan bermakna bahasa Inggeris dipinggirkan.

"Sebagai bahasa kebangsaan, keutamaan haruslah diberikan kepada bahasa Melayu untuk terus dipelihara dan dijadikan sebagai bahasa ilmu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Abdul Rahman berkata, apabila PPSMI dilaksanakan, ia telah mewujudkan satu kejutan budaya bagi pelajar luar bandar yang masih belum bersedia secara keseluruhannya.

Jelasnya, pemansuhan PPSMI bukan bermaksud bahasa Inggeris dipinggirkan tetapi ia harus dijadikan nilai tambah dalam diri setiap pelajar untuk bersaing di peringkat global.

''Kita akui kepentingan bahasa Inggeris, tetapi PPSMI bukanlah cara yang boleh digunakan untuk memantapkan penguasaan bahasa Inggeris baik di kalangan pelajar mahupun guru," jelasnya.


MANTAPKAN BI SEBAGAI PERSEDIAAN PELAJAR KE IPT.
Pengumuman kerajaan untuk memansuhkan PPSMI tidaklah sesuatu yang mengejutkan, berikutan tentangan yang telah diberikan oleh pelbagai pihak. Ia bukan satu keputusan mudah bagi kerajaan tetapi cukup besar untuk membuktikan bahawa kerajaan memang mendahulukan rakyat.

Oleh kerana pada masa yang sama, langkah-langkah untuk memperkasakan bahasa Inggeris juga telah dibentangkan, maka seperti yang dikatakan oleh Prof. Ungku Aziz, keputusan tersebut dapat memuaskan hati semua pihak. Satu pihak mahu bahasa Melayu dimartabatkan, dan satu pihak lagi mahu melihat peningkatan di dalam penguasaan bahasa Inggeris (BI).

Salah satu hujah yang selalu kedengaran bagi golongan yang mahu PPSMI ini diteruskan ialah masalah pelajar-pelajar daripada alam persekolahan ke peringkat universiti.

Kebanyakan daripada bahan-bahan rujukan masih lagi di dalam bahasa Inggeris bertahap tinggi dan agak sukar bagi pelajar-pelajar yang hanya berkelulusan MUET dan Bahasa Inggeris SPM, yang langsung tidak diiktiraf IPT tempatan, apatah lagi di luar negara.

Ini merupakan salah satu penyumbang kepada pencapaian pelajar-pelajar IPT kita yang 'sederhana', khususnya golongan Bumiputera, terutamanya di dalam bidang-bidang sains dan teknologi.

Jawapan kerajaan terhadap hujah di atas ialah dengan memantapkan Bahasa Inggeris (BI) itu sendiri di peringkat persekolahan, dengan menambahkan contact hours, bilangan guru serta pendedahan istilah sains dan teknologi. Di sini izinkan saya memberikan beberapa cadangan.

Tidak perlu bagi Dewan Bahasa dan Pustaka untuk menterjemahkan segala-galanya ke dalam bahasa Melayu. Istilah-istilah teknikal/saintifik "universal" perlu dikekalkan, atau setidak-tidaknya di masukkan juga di dalam buku-buku teks sebagai "nota kaki" bagi memudahkan pelajar-pelajar membuat rujukan kelak.

Untuk memantapkan lagi penguasaan mana-mana subjek, pelajar-pelajar perlu mengaplikasikan apa yang telah diajar di sekolah, bukan sekadar untuk lulus peperiksaan sahaja. Dalam kes penguasaan sesuatu bahasa, tidak ada cara yang lebih berkesan selain daripada menggunakannya. Memperkenalkan ujian lisan, persembahan-persembahan teater/drama, debat dan pidato sebagai cabang kurikulum, dari peringkat rendah secara berterusan dapat memantapkan lagi penggunaan bahasa tersebut. Pengajaran secara 'monolog' yang berlebihan perlu dihentikan.

Soalan-soalan peperiksaan BI sama ada ujian bulanan, penggal, semester atau tahunan wajar merangkumi bidang sains dan teknologi, dan tidak tertumpu kepada nahu, sastera dan hal-ehwal semasa sahaja.

Ketika ini, hanya BI yang merupakan satu-satunya subjek di dalam peperiksaan SPM yang "tidak laku" untuk syarat melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti. Pelajar-pelajar yang ingin ke luar negara perlu mengambil peperiksaan IELTS, manakala bagi yang mendapat tempat di IPT terpaksa mengambil MUET.

Sudah sampai masanya bagi Kementerian Pelajaran untuk menaikkan kembali status BI ke tahap yang setaraf dengan negara-negara membangun yang lain.

Akhir sekali, demi masa depan anak-anak kita yang bakal mewarisi negara ini, semua pihak perlu berhenti mempolitikkan soal-soal pendidikan, sebaliknya bekerjasama dengan pihak yang bertanggungjawab untuk bersama-sama berganding bahu memperkasakan perkara yang sensitif ini.

Bagi pihak Kementerian Pelajaran pula, diharap pada masa-masa akan datang dapat membuat pertimbangan dan persiapan secara menyeluruh lagi terperinci, sebelum melaksanakan sesuatu dasar yang membabitkan kepentingan generasi akan datang, yang bakal menggalas amanah untuk mentadbir negara kita yang tercinta ini. -Utusan Melayu

Dr. Faizal Tajuddin
Pasir Salak, Perak