POST MORTEM: PPMSI MANSUH 2012. Dasar Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang menimbulkan banyak kontroversi sehingga menggugat peranan utama bahasa Melayu dalam bidang tersebut, akhirnya dimansuhkan oleh kerajaan.

Dengan itu bermakna kerajaan telah mengambil kira suara rakyat pelbagai lapisan selaras dengan dasar 'Satu Malaysia Rakyat Didahulukan'. Saya percaya, kerajaan telah membuat kajian mendalam, telus dan adil dari pelbagai sudut sebelum membuat keputusan akademik tersebut.

Memang tidak boleh dinafikan bahawa subjek Sains dan Matematik itu sangat penting untuk membangunkan negara. Namun demikian, rakyat tidak pernah menolak belajar kedua-dua subjek itu. Rakyat selama ini cuma mempertikaikan kenapa kedua-dua subjek tersebut diajar dalam bahasa Inggeris sedangkan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu? Selama ini rakyat terasa seperti bahasa Melayu itu sangat teruk diperlekehkan sehingga tidak layak diajar dalam subjek tersebut.

Justeru, apabila kerajaan membuat keputusan mengembalikan semula pengajaran dan pembelajaran kedua subjek tersebut ke dalam bahasa Melayu maka saya berpendapat ia adalah satu keputusan yang adil dan melegakan ramai pihak.

Semoga usaha kerajaan untuk mengutamakan dan mempertingkatkan kualiti kurikulum bahasa Inggeris di sekolah-sekolah akan berjaya melalui dasar baru yang diperkenalkan.

Di sini saya dan rakyat ingin ucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana mengembalikan semula kedudukan bahasa Melayu ke dalam Sains dan Matematik-Utusan Melayu

REZA ALJUNAID
Jelebu, N. Sembilan
Baca seterusnya..

JADIKAN BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA ILMU. KUALA LUMPUR 9 Julai - Pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) merupakan langkah baik untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Tokoh pendidik, Tan Sri Abdul Rahman Arshad berkata, bahasa Melayu merupakan bahasa ibunda yang perlu dijaga kesuciannya dan dimartabatkan supaya ia tidak terpinggir dalam arus peredaran zaman.

Menurutnya, untuk terus memartabatkan bahasa itu, ia perlu dijadikan bahasa ilmu di semua peringkat pengajian.

"Langkah kerajaan memansuhkan dasar PPSMI merupakan langkah yang cukup baik, tetapi bukan bermakna bahasa Inggeris dipinggirkan.

"Sebagai bahasa kebangsaan, keutamaan haruslah diberikan kepada bahasa Melayu untuk terus dipelihara dan dijadikan sebagai bahasa ilmu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Abdul Rahman berkata, apabila PPSMI dilaksanakan, ia telah mewujudkan satu kejutan budaya bagi pelajar luar bandar yang masih belum bersedia secara keseluruhannya.

Jelasnya, pemansuhan PPSMI bukan bermaksud bahasa Inggeris dipinggirkan tetapi ia harus dijadikan nilai tambah dalam diri setiap pelajar untuk bersaing di peringkat global.

''Kita akui kepentingan bahasa Inggeris, tetapi PPSMI bukanlah cara yang boleh digunakan untuk memantapkan penguasaan bahasa Inggeris baik di kalangan pelajar mahupun guru," jelasnya.


MANTAPKAN BI SEBAGAI PERSEDIAAN PELAJAR KE IPT.
Pengumuman kerajaan untuk memansuhkan PPSMI tidaklah sesuatu yang mengejutkan, berikutan tentangan yang telah diberikan oleh pelbagai pihak. Ia bukan satu keputusan mudah bagi kerajaan tetapi cukup besar untuk membuktikan bahawa kerajaan memang mendahulukan rakyat.

Oleh kerana pada masa yang sama, langkah-langkah untuk memperkasakan bahasa Inggeris juga telah dibentangkan, maka seperti yang dikatakan oleh Prof. Ungku Aziz, keputusan tersebut dapat memuaskan hati semua pihak. Satu pihak mahu bahasa Melayu dimartabatkan, dan satu pihak lagi mahu melihat peningkatan di dalam penguasaan bahasa Inggeris (BI).

Salah satu hujah yang selalu kedengaran bagi golongan yang mahu PPSMI ini diteruskan ialah masalah pelajar-pelajar daripada alam persekolahan ke peringkat universiti.

Kebanyakan daripada bahan-bahan rujukan masih lagi di dalam bahasa Inggeris bertahap tinggi dan agak sukar bagi pelajar-pelajar yang hanya berkelulusan MUET dan Bahasa Inggeris SPM, yang langsung tidak diiktiraf IPT tempatan, apatah lagi di luar negara.

Ini merupakan salah satu penyumbang kepada pencapaian pelajar-pelajar IPT kita yang 'sederhana', khususnya golongan Bumiputera, terutamanya di dalam bidang-bidang sains dan teknologi.

Jawapan kerajaan terhadap hujah di atas ialah dengan memantapkan Bahasa Inggeris (BI) itu sendiri di peringkat persekolahan, dengan menambahkan contact hours, bilangan guru serta pendedahan istilah sains dan teknologi. Di sini izinkan saya memberikan beberapa cadangan.

Tidak perlu bagi Dewan Bahasa dan Pustaka untuk menterjemahkan segala-galanya ke dalam bahasa Melayu. Istilah-istilah teknikal/saintifik "universal" perlu dikekalkan, atau setidak-tidaknya di masukkan juga di dalam buku-buku teks sebagai "nota kaki" bagi memudahkan pelajar-pelajar membuat rujukan kelak.

Untuk memantapkan lagi penguasaan mana-mana subjek, pelajar-pelajar perlu mengaplikasikan apa yang telah diajar di sekolah, bukan sekadar untuk lulus peperiksaan sahaja. Dalam kes penguasaan sesuatu bahasa, tidak ada cara yang lebih berkesan selain daripada menggunakannya. Memperkenalkan ujian lisan, persembahan-persembahan teater/drama, debat dan pidato sebagai cabang kurikulum, dari peringkat rendah secara berterusan dapat memantapkan lagi penggunaan bahasa tersebut. Pengajaran secara 'monolog' yang berlebihan perlu dihentikan.

Soalan-soalan peperiksaan BI sama ada ujian bulanan, penggal, semester atau tahunan wajar merangkumi bidang sains dan teknologi, dan tidak tertumpu kepada nahu, sastera dan hal-ehwal semasa sahaja.

Ketika ini, hanya BI yang merupakan satu-satunya subjek di dalam peperiksaan SPM yang "tidak laku" untuk syarat melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti. Pelajar-pelajar yang ingin ke luar negara perlu mengambil peperiksaan IELTS, manakala bagi yang mendapat tempat di IPT terpaksa mengambil MUET.

Sudah sampai masanya bagi Kementerian Pelajaran untuk menaikkan kembali status BI ke tahap yang setaraf dengan negara-negara membangun yang lain.

Akhir sekali, demi masa depan anak-anak kita yang bakal mewarisi negara ini, semua pihak perlu berhenti mempolitikkan soal-soal pendidikan, sebaliknya bekerjasama dengan pihak yang bertanggungjawab untuk bersama-sama berganding bahu memperkasakan perkara yang sensitif ini.

Bagi pihak Kementerian Pelajaran pula, diharap pada masa-masa akan datang dapat membuat pertimbangan dan persiapan secara menyeluruh lagi terperinci, sebelum melaksanakan sesuatu dasar yang membabitkan kepentingan generasi akan datang, yang bakal menggalas amanah untuk mentadbir negara kita yang tercinta ini. -Utusan Melayu

Dr. Faizal Tajuddin
Pasir Salak, Perak

Comments (1)

On July 12, 2009 at 7:12 PM , Confius said...

confius a'.....ari tu menteri pelajaran dulu kata berjaya.....bila menteri baru kata tak berjaya pulak PPSMI ni....data mana depa guna....ehmmmm yg mana satu betul ni......