KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak menolak kemungkinan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) akan dimansuhkan sementara Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pula dirombak dalam usaha transformasi sistem pendidikan negara.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong, berkata cadangan itu antara yang sedang diteliti kementerian bagi mengubah sistem pendidikan negara ketika ini yang terlalu bergantung kepada peperiksaan.

“Kementerian kini dalam proses membuat kajian serta penilaian untuk transformasi pendidikan negara yang sudah dimulakan sejak tahun lalu dan dijangka berakhir penghujung tahun ini.

“Sama ada peperiksaan awam termasuk PMR dan UPSR dimansuhkan terus atau dirombak mengikut keperluan, semuanya akan diumumkan pada penghujung tahun ini dan pelaksanaannya pula akan bermula awal tahun depan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Baca seterusnya..

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) dan Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) yang PMR dimansuhkan, manakala UPSR dirombak.

Wee berkata, kementerian menyambut baik cadangan yang dikemukakan mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) serta pihak lain yang ingin melihat sistem pendidikan negara menjadi lebih maju di masa depan tanpa tidak terlalu bergantung kepada peperiksaan. “Saya tidak nafikan sistem yang kita ada sekarang ini memang terlalu bergantung kepada peperiksaan. Oleh itu kerajaan kini berusaha mengkaji sistem sedia ada dengan mengambil kira segala kemungkinan yang bakal berlaku di masa depan supaya ia memberi kebaikan kepada semua pihak,” katanya.

Beliau berkata, 550 sekolah terbabit dalam proses kajian transformasi sistem pendidikan itu yang mana pada tahun lalu kerajaan sudah menjalankan ujian dan kajian ke atas 50 sekolah di seluruh negara.

Berita Harian Online: 21 April 2009

Comments (0)